• Register

Events

Mama Idola Hatiku

Petaling Jaya, 29 April 2011 - Kasih ibu dibawa ke syurga…sayangilah mereka ketika mereka masih disisi kita. Kemeriahan sambutan Hari Ibu bukan sahaja setakat pelukan dan hadiah, malah TV9 juga mengambil kesempatan untuk sama-sama menghargai dan meraikan Hari Ibu bersama penonton setia kami menerusi peraduan khas Hari Ibu.

Peraduan yang diadakan selama dua minggu, bermula pada 30 April 2011 dan berakhir 8 Mei 2011 ini adalah khusus buat penonton kami bersuai antara 6 tahun ke atas. Kepada anda yang sudah berumahtangga, masih kekal lagikan kata-kata mereka di hati dan sanubari anda? Tunjukkan kasih sayang anda kepada ibu tersayang dengan mengingati bait-bait kata yang menjadi kesukaan ibu anda seperti “jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua” atau apa sahaja kata-kata ibu tersayang anda.

Hantarkan kata-kata kegemaran ibu anda menerusi email, facebook atau TV9 website. 10 penyertaan yang terpilih dan menarik akan memenangi hadiah-hadiah istimewa seperti voucer spa percumadan makan malam istimewa buat ibu tersayang termasuklah lawatan istimewa dari rakan-rakan Kawan 9. Jangan lepaskan peluang anda untuk menunjukkan kasih sayang anda menerusi peraduan Istinmewa Hari Ibu bersama TV9 sambil menunjukkan kasih sayang anda kepada mereka.

Di samping peraduan istimewa ini, penonton setia TV9 juga akan dihiburkan dengan program-program menarik yang dapat mengingatkan kita kepada jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu kita sepanjang hayat mereka dalam membesarkan kita. Apakah pula peranan kita dalam membalas jasa mereka. Antara program-program yang disediakan adalah :

Skrin Di 9 – Ampunkan Dosaku Mak
4 Mei 2011 (Rabu), 8.30 malam

Drama terbitan Nasreen Pictures Sdn Bhd ini menampilkan lakonan terbaik Elly Suriyati sebagai Suhana perlu membesarkan anak tunggalnya Karmila (Fauziah Gous) sehingga ke menara gading. Suhana telah ditinggalkan oleh suaminya Farouk (Ridzuan Hashim) kerana tidak mahu hidup susah dan pergi memburu kekayaan di bandar meninggalkan mereka dua beranak. Sejak itu, Hassan yang dilakonkan oleh Haryanto sentiasa menjaga kebajikan mereka berdua kerana kasihan melihat Suhana bekerja keras siang dan malam bekerja untuk menampung kehidupan anak tunggalnya. Karmila pula berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti hasil keputusan cemerlang yang diperolehinya. Hassan sama-sama membantu Suhana mencari wang untuk pengajian Karmila. Namun apabila sudah merasai hidup berasingan dengan ibu apatah lagi bergaul dengan anak orang kaya, Karmila mula lupa daratan. Ingin hidup mewah dan memiliki barangan berjenama.
Haykal (Afiz Muiz) pula secara tidak sengaja telah memperkenalkan Karmila dengan bapa ayam bernama Marco. Sejak perkenalan mereka, Marco telah memperdagangkan Karmila dan memberi kemewahan kepadanya. Namun pada suatu hari, Haykal telah meminta Karmila supaya melarikan diri kerana dia mendapat tahu Marco ingin menjual Karmila ke luar negara. Ketika cuba melarikan diri itulah muncul Suhana dan Hassan yang kebetulan tahu tentang misi ini daripada rakan sebilik Karmila. Pergelutan berlaku antara Marco, Haykal dan Karmila. Keadaan menjadi semakin cemas apabila Hassan yang mengenali Marco memanggilnya dengan nama Farouk. Adakah Marco dan Farouk merupakan orang yang sama? Dan jika ianya benar, bagaimana pula perasaannya apabila mengetahui dia telah memperdagangkan darah dagingnya sendiri?

Semanis Kurma - Kasihnya Ibu
5 Mei 2011 (Khamis), 10.00 malam

Dato’ Siti Nor Bahyah dan suami, Ustaz Akashah akan berkongsi dengan penonton tentang pengorbanan seorang ibu menjaga anaknya yang cacat sehingga melupakan kerjayanya. Turut dimuatkan dalam Semanis Kurma ini juga adalah berkaitan seorang ibu yang mengambil anak angkat dan membesarkannya tanpa membezakan kasih sayang antara anak angkat dan juga anak kandungnya. Ikuti pengorbanan ibu yang tiada tandingannya ini nanti.

Tanyalah Ustazah : Jasa Ibu
6 Mei 2011 (Jumaat), 11.30 pagi

Topik kali ini sungguh menyentuh hati di mana akan membincangkan tentang ibu dan bapa yang telah tua dan uzur namun diabaikan oleh anak-anak sehingga terlantar di rumah-rumah orang tua tanpa anak-anak disisi. Bersama Ustazah Nabila Dato’ Yusof, beliau akan mengupas situasi kesibukan anak-anak dalam mengurus tanggungjawab terhadap keluarga sendiri, terutamanya anak-anak lelaki terhadap penjagaan ibu dan bapa mereka. Untuk mengelak perkara ini daripada berlaku ke atas diri kita, jangan lupa untuk mengetahui tips-tips berharga untuk membalas budi dan jasa mereka yang telah melahirkan, membesar dan mendidik kita.

Usrah - Kewajiban Anak Lelaki
6 Mei 2011 (Jumaat), 1.00 tengahari

Kali ini, Usrah mendekati warga emas yang dijaga dan dirawat di Rumah Al-Ikhlas, Puchong 2 di bawah selenggaraan bekas ketua jururawat Serdang, Hajah Muji Sulaiman. Berpandukan buku 30 Luahan Perasaan Suami karya Hasan Mohd Ali, Ustaz Muhamad membincangkan tiga perkara utama yang wajib ditunaikan oleh seorang anak lelaki kepada ibu dan ayahnya walaupun setelah berumahtangga.

Tanyalah Ustaz - Pengorbanan Ibu
8 Mei 2011 (Ahad), 7.00 pagi

Tanyalah Ustaz bersempena Hari Ibu ini telah menjemput panelis istimewa Ustaz Mohd Firdaus Subhi, Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Negeri Shah Alam. Episod kali ini lebih memfokuskan perihal pengorbanan ibu dari mengandung, melahir, membesar, mendidik serta menjadikan anak-anaknya insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Pengorbanan ibu terlalu besar dan seharusnya anak-anak menghargainya dengan menunjukkan sifat penyayang dan menghormati insan yang sanggup menggadai segalanya demi melihat anak mereka bahagia dan berjaya. Ustaz akan menerangkan juga perihal impak kepada mereka yang mengabaikan ibu dengan meninggalkan mereka ini di rumah orang-orang tua walhal semasa anak-anak ini kecil, seramai mana sekalipun anak dan betapa sukarnya untuk membesarkan mereka, si ibu tidak pernah mengeluh apatah lagi memberi mereka kepada keluarga lain untuk menjaganya.
Persoalan secara langsung menerusi telefon dan email daripada penonton akan dilontarkan kepada Ustaz Mohd Firdaus Subhi sepanjang siaran langsung tiga hari itu. Semoga tajuk kali ini dapat membuka mata anak-anak agar lebih menghormati serta memuliakan insan ini kerana 'syurga di bawah tapak kaki ibu' dan segala penat lelah ibu tiada bandingannya apabila melihat anak-anak berjaya menjadi insan yang berguna, baik dalam pelajaran, berkeluarga dan kerjaya. Berilah kebahagiaan kepada Ibu nescaya kehidupanmu selamat dan berkat.

Nasi Lemak Kopi O – Edisi Khas Hari Ibu
8 Mei 2011 (Ahad), 8.00 pagi

Sarapan pagi pastinya tidak lengkap tanpa nasi lemak dan kopi o. Sempena Hari Ibu yang bakal tiba ini, program bual bicara NLKO ini akan menampilkan kepada orang ramai tentang pekerjaan yang dilakukan oleh ‘super mama’ dan membuktikan bahawa seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja sehingga bergelar sebagai ibu cemerlang dalam bidang yang jarang dikuasai wanita seperti ‘Mekanik Penguasa Anjing’, ‘Mama Di Kapal Gaza’, ‘Penunggang Charity Superbike’, ‘Penjinak Haiwan Liar’ dan ‘Fighter Jet Pilot’. Turut menceritakan suasana Hari Ibu di NLKO ini adalah tetamu istimewa ibu dan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu YABhg Tun Hajah Rahah Noh bte Tan Sri Mohd Noh dan YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

NUR SAFIYYA : IBU MUDA
8 Mei 2011 (Ahad), 6.00 petang

Sempena sambutan Hari Ibu pada tahun ini, program Safiyya bersama pengacara Nor Azrina Mohd Salleh (juara Gadis Melayu musim ketiga) dan Liyana Hisham akan membawa penonton meneroka pengalaman yang dilalui oleh ibu muda bersama pasangan yang nekad mendirikan rumahtangga walaupun di usia yang masih muda. Pasangan muda ini rata-ratanya mula bercinta ketika menuntut di kampus dan menganggapnya sebagai cinta monyet akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin. Apa Saja FBI - Anak Mak 13 Mei 2011 (Jumaat), 8.30 malam Apa Saja FBI kali ini membawakan temuramah eksklusif antara Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2010/ Pelakon Filem Lelaki Popular ABP 2010 iaitu Shaheizy Sam bersama ibu tersayang Kathy Fudziah serta Pelakon Filem Wanita Paling Popular iaitu Lisa Surihani bersama ibu tercinta Siti Amira Ahmad.

Back
 

Related Topics

  • Idola Kecil 4

    Read more...
  • Ketuhanan dan Motivasi Tema Istimewa Konsert Kedua Idola Kecil 4

    Setelah menyaksikan kehebatan konsert pertama, pastinya para penonton sudah tidak sabar untuk menunggu konsert kedua pula. Minggu ini, hanya tinggal

    Read more...
  • 12 Bintang Bersinar Di Konsert Pengenalan Idola Kecil 4

    Program realiti kanak-kanak nombor satu negara, Idola Kecil 4 (IK4) kini bermula dengan debaran dan keterujaan konsert pertama. Persaingan sengit

    Read more...
  • Idola Kecil 4 - Pencarian Bakat Idola Kecil 4 Kini Bermula!

    Masa yang dinanti-nanti kini sudah tiba di mana TV9 memulakan penjelajahan untuk mencari bakat baru Idola Kecil Musim Keempat (IK4).

    Read more...
 
0 Comments posted

    total: 0 | displaying: 0

You must be a registered user to comment on articles, and you can do so here : Register

Advertisement
Advertisement
tonton TV on Demand
Advertisement