Press Releases
KONFRONTASI TERAKHIR RM200,000 JADI REBUTAN 5 KUMPULAN
Tanggal 1 Jun 2012 bakal mengukir sejarah tersendiri buat TV9 dan Hot FM. Konfrontasi terakhir antara lima kumpulan hebat tanahair akan menentukan juara kepada Versus 2012. RM200,000 bakal menjadi rebutan antara 6ixth Sense, Black & Parallax, Hujan, Go Gerila! dan Sofazr. Anda yang akan menjadi penentu kepada kemenangan mereka kerana kuasa sms (sistem pesanan ringkas) berada di tangan anda. SMS tertinggi akan menentukan samada mereka layak ke peringkat battle dan seterusnya pemarkahan penuh ditentukan oleh juri profesional, Jennifer Thompson dan Loque.
VERSUS yang tercetus hasil pemikiran kritis tenaga kerja antara kedua stesen yang sentiasa komited untuk memenuhi kehendak para penonton dan pendengarnya, bakal melabuhkan tirai Jumaat ini. Setelah 7 minggu bersiaran secara langsung di ruang legar Space U8, 6ixth Sense, Black & Parallax, Hujan, Go Gerila! dan Sofazr dilihat telah berjaya keluar dari kepompong keselesaan mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, En. Seelan Paul dan Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar TV9, “Versus adalah sebuah program realiti yang sangat unik. Maklumbalas daripada orang ramai mengatakan yang Versus mempunyai konsep program realiti terbaik setakat ini. Malahan ia turut memberi ruang kepada para peserta untuk mempamerkan kreativiti muzik daripada setiap segi termasuk gubahan lagu, persembahan dan eksperimentasi genre muzik yang berbeza. Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada ahli-ahli kumpulan lain untuk menonjolkan bakat mereka, selain penyanyi utama kumpulan. Kami juga turut berasa bangga kerana menjadi pelopor atau perintis kepada muzik generasi baru ini dan dikongsikan di atas pentas Versus.
“Versus juga telah mengalami evolusi tersendiri. Mungkin pada mulanya ada yang berasa bimbang dengan penerimaan orang ramai terhadap konsep unik dan segar ini kerana lagenda muzik yang telah ditinggalkan oleh seniman-seniman tanahair seperti Alleycats, Allahyarham Sudirman dan ramai lagi telah berada di satu tahap yang amat membanggakan Malaysia. Kreativiti yang ditunjukkan dalam Versus ini sebaliknya telah membuktikan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk evolusi muzik yang lebih besar,” tambah Sherina lagi.
Daya kreativiti mereka yang selama ini disekat oleh batas pemikiran yang tidak diberikan ruang secukupnya untuk berkarya akhirnya berjaya diluahkan di pentas VERSUS. Untuk konsert akhir yang masih akan berlangsung di ruang legar Space U8 Shah Alam ini diharapkan dapat mencetuskan fenomena buat peminat muzik yang sentiasa dahagakan suatu pengisian kreatif, gubahan segar dan eskplorasi muzik tanpa batasan.
Pertarungan di minggu ketujuh lalu, menyaksikan kebangkitan Sofazr yang seakan-akan terjaga dari lena yang panjang dan mendapat suatu semangat baru sehingga mereka berjaya merangkul takhta juara battle buat kesekian kalinya dengan lagu ‘Gagalkah Aku’. Tema ‘Rock Kapak’ sekali lagi menguji daya imaginasi mereka untuk memberikan kelaianan. Go Gerila! dan Hujan tampil memikat hati juri dan peminat tegar VERSUS masing-masing mendapat sorakan gemuruh dan pujian juri.
Minggu akhir ini pasti menjanjikan suatu lagi kelainan yang akan mencabar batas pemikiran kelima-lima band yang bertanding di dalam VERSUS. Mereka dikerah untuk mencurahkan segala idea kreatif untuk pertarungan terakhir di pentas VERSUS yang bakal berlangsung selama 2 jam 30 minit bermula jam 9.30 malam sehingga 12.00 malam.
VERSUS dilihat semakin hampir mencapai objektifnya untuk mempersiapkan kelima-lima band lengkap dengan penguasaan pelbagai genre muzik untuk terus bersaing hebat dan merancakkan lagi industri muzik tanah air. Muzik bukan hanya boleh dinikmati malahan muzik juga boleh membentuk peribadi, seiring dengan penubuhan VERSUS yang bertujuan untuk memberi impak positif terhadap penerimaan muzik yang boleh dipelbagaikan dan dinikmati semua.
Dengan kehadiran ribuan peminat setia yang sentiasa membanjiri perkarangan ruang legar Space U8, nyata benar muzik boleh menghimpunkan perbezaan menjadi satu dan itu dapat disaksikan hanya di VERSUS. Cabaran untuk merealisasikan VERSUS bukan mudah, tetapi berkat kesungguhan setiap minggu dilihat ada peningkatan dan penambahbaikan yang mendapat respon positif dari semua. Tidak kurang juga ada yang memberi kritikan, namun itu semua dijadikan sebagai suatu cabaran untuk kami terus memperbaiki kekurangan yang ada menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Setelah mereka diuji dengan kepelbagaian irama muzik sejak dari tahun 80 an hingga ke era kini, minggu akhir ini mereka perlu mempersiapkan diri dan mental mereka 360° untuk pentas akhir ini yang pasti padat dengan pengisian menarik untuk tontonan anda. Bebanan mereka ditambah lagi dimana untuk battle terakhir mereka ditugaskan untuk mengubah lagu dendangan lagenda rock tanah air, iaitu kumpulan SEARCH.
Teraju utama kumpulan itu, Amy Search bakal menghangatkan lagi pentas akhir VERSUS di mana beliau akan membuat persembahan dan akan turut memanaskan kerusi juri jemputan kali ini selain juri tetap Jennifer Thompson dan Loque. Pasti kehadiran beliau menambah keterujaan lantas memberi satu semangat buat kelima-lima band untuk memberikan yang terbaik dalam persembahan mereka yang juga sebagai tanda penghargaan buat kumpulan Search yang tidak pernah malap sinar kegemilanganya.
Sebelum itu, mereka ditugaskan untuk menggabungkan dua lagu untuk dipersembahkan secara medley berdasarkan kepada lagu-lagu mingguan yang pernah mereka bawakan. Tugasan seterusnya, mereka perlu menghasilkan lagu sendiri yang paling kreatif dan menyengat untuk menarik orang ramai untuk mengundi mereka.
| MEDLEY MASHUP | |
|---|---|
| Hujan (HJN) | Dan Bila Esok + Lamunan Terhenti |
| Black & Parallax (BPX) | Merisik Khabar + Sekadar Di Pinggiran |
| Go Gerila! (GGL) | Biso Bonar + Curiga |
| Sofazr (SFR) | Basikal Tua + Inilah Nasibku |
| 6ixth Sense (SIX) | Warisan + Fiona |
| LAGU BARU KUMPULAN | |
|---|---|
| Hujan (HJN) | Ke Selatan |
| Black & Parallax (BPX) | Aku VS Kamu |
| Go Gerila! (GGL) | Hadiah |
| Sofazr (SFR) | Berakhir |
| 6ixth Sense (SIX) | Hossi (Bintang) |

total: 0 | displaying: 0